News & Updates

Transformasi Pertanian Antara Fokus Utama RMK-12 Di DUN Simanggang
Tarikh : 24 Jan 2026  Sumber Berita: UKAS
 

SRI AMAN: Transformasi dalam sektor pertanian antara fokus utama yang diberikan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang.

Susulan itu, satu taklimat anjuran Jabatan Pertanian Bahagian Sri Aman yang disampaikan Pegawai Pertanian, Syahalizul Sulaiman dan Penolong Pegawainya, Naliton Lingken Rantai telah diadakan bagi memberi tumpuan khusus kepada status pelaksanaan projek sedia ada, perancangan projek baharu serta hala tuju pembangunan pertanian berimpak tinggi yang dirangka bagi memperkukuh ekonomi luar bandar dan meningkatkan pendapatan petani di DUN Simanggang.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis, berkata setiap projek yang dirancang perlu dilaksanakan secara bersepadu, berimpak dan berorientasikan hasil, agar manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh golongan sasar, khususnya petani dan pengusaha tani di DUN Simanggang.

Dalam satu kenyataan media pada Jumaat, antara projek tanaman strategik yang diberi keutamaan termasuk Program Pembangunan Dan Peningkatan Tanaman Sayuran iaitu projek konvesional untuk sayuran dan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET).

Datuk Francis juga turut dimaklumkan mengenai rancangan pelaksanaan projek Skim Tanam Baru Lada Individu (STBLI) dan Program Pemacu Tanaman Kopi iaitu Tanam Baru Kopi.

Bagi subsektor perikanan darat, Jabatan Pertanian turut merancang pelaksanaan Program Pembangunan Perikanan Darat merangkumi projek Akuakultur Kecil dan Unit Akuakultur yang dijangka mampu meningkatkan pengeluaran ikan air tawar secara berdaya maju, selain menyokong Program Agropelancongan berasaskan aktiviti asas tani.

Susulan itu, beliau berharap agar petani di negeri ini khususnya DUN Simanggang boleh dijadikan model dan wadah yang boleh dibanggakan dalam sektor pertanian atau penternakan yang diusahakan.