|
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan digesa memberi keutamaan segera kepada pelaksanaan projek jalan raya di Sri Aman yang lama tertangguh meskipun telah dicadangkan dan diluluskan sejak Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Ahli Parlimen Sri Aman Dato Sri Doris Sophia Brodi berkata, kelewatan berpanjangan projek infrastruktur asas bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan rakyat, malah bercanggah dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang menekankan pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat. Beliau memberitahu, antara projek yang dimaksudkan ialah naik taraf Jalan Menuang ke Langgir sepanjang 3.3 kilometer (km) piawaian JKR R3, dengan anggaran kos RM46 juta yang telah dicadangkan sejak RMK-12 pada 2021 namun sehingga kini masih belum dilaksanakan. “Komuniti di Langgir, Gunung Lesong masih tidak mempunyai akses jalan raya dan bergantung sepenuhnya kepada laluan sungai yang berbahaya dan banyak buaya serta sukar dilalui, khususnya ketika air surut,” katanya semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, pada Khamis. Selain itu, Dato Sri Doris turut merujuk projek menaik taraf Jalan Pantu ke Keranggas/Engkeranji sepanjang kira-kira 22 kilometer yang diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah Rolling Plan 1 RMK-13 dengan kos siling RM142 juta, namun masih tertangguh sehingga kini. “Jalan sedia ada yang berbatu, licin dan berbahaya itu menyukarkan lebih 1,500 penduduk di sepanjang jajaran berkenaan. “Projek ini jika siap nanti akan boleh menghubungkan sembilan rumah panjang termasuk dua sekolah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Keranggas dan SK Engkeranji. Beliau menegaskan, penyediaan infrastruktur jalan raya yang baik bukan sekadar soal kemudahan fizikal, tetapi berkait langsung dengan akses kepada pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan peluang ekonomi rakyat luar bandar. Sehubungan itu, beliau menuntut agar kedua-dua projek berkenaan disenaraikan sebagai keutamaan di bawah RMK-13 selaras dengan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menekankan kesejahteraan rakyat melalui pembangunan infrastruktur asas.-EDISI UKAS |