| SADA tekankan penyelarasan prosedur projek |
|
Tarikh : 16 Jan 2026 Sumber Berita: The Malaysia Press |
|
KUCHING – Sri Aman Development Agency (SADA) menekankan kepentingan pematuhan prosedur serta penyelarasan berkesan dalam urusan permohonan pertapakan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek pembangunan di Sri Aman. Pengerusi SADA, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, kejelasan proses serta kefahaman menyeluruh dalam kalangan agensi pelaksana amat penting bagi mengelakkan sebarang kekangan yang boleh menjejaskan tempoh pemprosesan dan jadual pelaksanaan projek. “Berdasarkan penelitian pelaksanaan projek di lapangan, isu berkaitan permohonan pertapakan bukan sahaja dihadapi oleh SADA, malah turut melibatkan agensi pelaksana lain. “Keadaan ini menunjukkan keperluan kepada pendekatan yang lebih menyeluruh melalui perkongsian maklumat, penyelarasan proses dan pemahaman yang jelas antara semua pihak terlibat,” ujarnya dalam Sesi Taklimat Prosedur Permohonan Pertapakan di Wisma Bapa Malaysia, pada Khamis. Beliau menjelaskan urusan pertapakan merupakan komponen asas yang kritikal dalam menentukan kelancaran sesuatu projek. Sebarang kelemahan dari segi pematuhan prosedur, keperluan dokumentasi atau ketidakjelasan proses berpotensi memberi implikasi kepada tempoh pemprosesan serta menjejaskan perancangan pelaksanaan projek pembangunan. Sehubungan itu, Rohani berharap agar kerjasama erat dan komunikasi berterusan antara SADA, Jabatan Tanah dan Survei serta agensi pelaksana lain dapat diperkukuh bagi memastikan proses permohonan pertapakan projek dapat dilaksanakan dengan lebih lancar, cekap dan tersusun demi kesejahteraan komuniti setempat. |