News & Updates

Kunjungan Hormat Kepada YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Bin Ali Hasan
Tarikh : 03 Sep 2026  Sumber Berita: Facebook Rasmi ADUN N.28 Lingga
 

Alhamdulillah, hari ini YB Puan Dayang Noorazah Awang Sohor telah mengadakan kunjungan hormat kepada YB Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (II) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak.

Dalam pertemuan tersebut, YB Dayang turut mengambil kesempatan membincangkan dan mendapatkan pandangan YB Datuk Amar berhubung cadangan perancangan pembangunan kawasan Batang Lupar, termasuk Projek Pembinaan Dewan Simposium Batang Lupar sebagai kesinambungan kepada siri perbincangan dan penyelarasan bersama agensi-agensi berkaitan sebelum ini.
Perancangan ini bukan hanya tertumpu kepada pembinaan sebuah dewan semata-mata, sebaliknya melihat kepada potensi pembangunan kawasan secara lebih menyeluruh dan bersepadu, termasuk komponen komersial, kediaman serta kemudahan dan pembangunan sokongan yang mampu merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan.
Dengan Jambatan Batang Lupar yang bakal menjadi antara mercu tanda dan ikon baharu Sri Aman, YB Dayang melihat potensi besar kawasan sekitarnya untuk dibangunkan secara strategik agar kewujudan infrastruktur tersebut dapat memberi nilai tambah serta limpahan ekonomi yang lebih luas kepada Sri Aman dan kawasan sekitarnya.YB Dayang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YB Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan atas kesudian menerima kunjungan tersebut serta meluangkan masa berkongsi pandangan, nasihat dan input yang amat bermakna dalam memperhalusi hala tuju pembangunan kawasan berkenaan.
YB Dayang berharap usaha berterusan ini dapat membuka jalan ke arah merealisasikan sebuah pembangunan yang bukan sahaja menjadi tarikan baharu Sri Aman, malah mampu mewujudkan peluang ekonomi, merancakkan aktiviti perniagaan dan pelaburan serta memberi manfaat kepada masyarakat setempat termasuk rakyat di DUN N.28 Lingga.
Semoga segala usaha, perancangan dan kerjasama berterusan semua pihak dipermudahkan dalam membawa Sri Aman ke arah sebuah kawasan yang lebih maju, makmur dan berdaya saing.
Turut bersama dalam kunjungan tersebut ialah pegawai Jabatan Tanah dan Survei Sarawak serta pihak konsultan.