| Inovasi MAHA 2026 bakal diadaptasi majukan pertanian dan pelancongan Sri Aman: Rohani |
|
Tarikh : 31 Aug 2026 Sumber Berita: Utusan Borneo |
|
KUCHING: Pelbagai inovasi dan pendekatan baharu yang dipamerkan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 berpotensi diadaptasi bagi memperhebatkan sektor pertanian dan pelancongan di bahagian Sri Aman. Demikian kata Pengerusi Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) Datuk Seri Rohani Abdul Karim semasa mengetuai lawatan kerja rasmi ke MAHA 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Selangor pada 29 dan 30 Ogos lalu. Lawatan tersebut memberi tumpuan kepada penerokaan teknologi, inovasi agro, agropelancongan serta peluang jaringan strategik yang mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan Sri Aman. “Lawatan ini bukan sekadar kunjungan rasmi atau suka-suka semata-mata. Apa yang paling penting adalah hasil dan tindakan susulan yang nyata daripada apa yang kita teroka di sini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Menurut beliau lagi, penemuan sepanjang MAHA 2026 perlu diterjemahkan kepada tindakan yang mampu memberi manfaat kepada pembangunan bahagian Sri Aman secara menyeluruh. Pendekatan itu termasuk meneroka potensi penggunaan inovasi dalam sektor pertanian selain produk agropelancongan dan peluang ekonomi yang melibatkan komuniti setempat. SADA turut melihat jaringan strategik dengan pelbagai pihak di MAHA 2026 sebagai peluang untuk mendapatkan perkongsian ilmu, kepakaran dan pendekatan baharu yang bersesuaian dengan potensi Sri Aman. Delegasi turut disertai Pegawai Tadbir Khas SADA Alfred Geling, Pegawai Daerah Sri Aman Shariff Bujang dan Pegawai Daerah Pantu Raca Mulong, Jurutera Bahagian JKR Sri Aman Lenny Busuri, wakil Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP), Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) serta Sekretariat SADA. |