News & Updates

MAHA 2026 buka peluang agro untuk Sri Aman
Tarikh : 01 Sep 2026  Sumber Berita: Suara Sarawak
 

SELANGOR: Penyertaan Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 membuka peluang meneroka teknologi, pasaran dan jaringan strategik dalam sektor agro bagi memperkukuh ekonomi tempatan.

Pengerusi SADA, Datuk Sri Rohani Abdul Karim berkata, penyertaan itu turut membolehkan agensi mengenal pasti pendekatan dan inisiatif bersesuaian dengan keperluan pembangunan Sri Aman.

Menurutnya, hasil lawatan perlu diterjemahkan kepada tindakan susulan yang memberi manfaat kepada masyarakat di bahagian berkenaan.

Beliau berkata, lawatan itu turut memberi peluang meninjau perkembangan sektor pertanian, hortikultur dan agropelancongan, selain bertukar pandangan serta membina jaringan dengan pemain industri dan pihak berkepentingan. 

Katanya, MAHA Trade Days 2026 menghimpunkan hampir 2,000 pempamer, merekodkan 14 pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai keseluruhan RM1.49 bilion membabitkan pelbagai subsektor strategik agromakanan.

Antara kerjasama bernilai tinggi membabitkan Sarawak ialah pembangunan loji pemprosesan di Tukau, Miri bernilai RM1.031 bilion, meliputi pengeluaran dan pengedaran produk pertanian, pembangunan kapasiti ladang ayam pedaging berteknologi tinggi serta penghasilan baja khusus tanaman nanas.

Perkembangan itu menunjukkan potensi besar yang boleh diterokai Sarawak, termasuk Sri Aman, khususnya dalam memperluas rantaian nilai pertanian merangkumi pengeluaran, pemprosesan, teknologi dan pemasaran.