Sarawak ID | Register

Sri Aman Development Agency

Bridging Gaps, Unleashing Potentials

Polls
Announcements

News & Updates

RM1.48 Bilion Disalur Pacu 87 Projek Pembangunan Sri Aman Di Bawah SADA
Tarikh : 10 Jul 2026  Sumber Berita: Facebook Rasmi Jabatan Penerangan Bahagian Sri Aman
 

 

KUCHING, 10 Julai -- Agensi Pembangunan Wilayah Sri Aman (SADA) telah meluluskan peruntukan berjumlah RM1.48 bilion bagi melaksanakan 87 projek pembangunan strategik yang memberi tumpuan kepada peningkatan infrastruktur, pertanian, ekonomi dan kesejahteraan sosial di Bahagian Sri Aman.
Pengerusi SADA yang juga Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Program dan Projek Luar Bandar), Dato Sri Rohani Abdul Karim berkata jumlah itu mewakili kira-kira 98 peratus daripada keseluruhan peruntukan RM1.5 bilion yang disediakan Kerajaan Sarawak untuk pembangunan wilayah berkenaan.
Menurut beliau, sektor infrastruktur menerima bahagian terbesar dengan peruntukan RM1.037 bilion, diikuti sektor sosial sebanyak RM161 juta, pertanian RM160.55 juta dan ekonomi RM121 juta.
"Pelaburan dalam infrastruktur bukan sekadar meningkatkan kesalinghubungan, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pertanian, pelancongan dan aktiviti ekonomi setempat," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Sarawak FM di RTM Kuching, hari ini.
Ditubuhkan pada 15 Oktober 2020, SADA berperanan mempercepat pembangunan wilayah Sri Aman melalui pendekatan yang lebih tersusun dan berimpak tinggi sejajar dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Sehingga kini, sebanyak 13 projek utama yang dibiayai menerusi agensi itu telah siap dan beroperasi sepenuhnya, sekali gus membawa manfaat langsung kepada masyarakat setempat.
Antara projek berkenaan ialah pembinaan Jambatan Sungai Undop di Kampung Beleti (Rh Kedeney), Sabu bernilai RM5 juta yang memperkukuh akses perhubungan penduduk luar bandar, selain pemasangan Sistem Sarawak Traffic Information and Light System (STILE) di Jalan Akses Sri Aman (Q7) bagi meningkatkan kelancaran trafik serta keselamatan pengguna jalan raya.
Turut direalisasikan ialah beberapa projek tebatan banjir di kawasan Kejamut yang membantu mengurangkan risiko limpahan air ke kawasan penempatan ketika cuaca ekstrem, selain kerja menaik taraf Kampus Sarawak Skills Sri Aman yang kini berfungsi sebagai pusat latihan TVET bagi melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang teknikal dan perladangan.
Dalam sektor pertanian, sebanyak 12 projek dilaksanakan merangkumi pembangunan sistem pengairan dan saliran, pembinaan jalan ladang serta inisiatif berasaskan teknologi dan pengeluaran makanan.
Antara projek yang diberi keutamaan termasuk Kajian Ekosistem Pengeluaran Padi di Jelapang Padi Batang Lupar, Projek Ternakan Tilapia Hitam Fasa 1 di Batang Ai serta pembangunan industri burung walit yang berpotensi menjana nilai ekonomi tinggi kepada komuniti luar bandar.
Bagi memperkukuh sektor ekonomi, khususnya pelancongan, SADA menyelia 21 projek bernilai RM10.15 juta yang memberi tumpuan kepada pembangunan produk ekopelancongan dan warisan tempatan.
Inisiatif tersebut melibatkan pembangunan Kompleks Ekopelancongan Gunung Lesong, Pusat Warisan Setempat Batang Ai CBET, penambahbaikan kemudahan di beberapa lokasi air terjun popular serta pemuliharaan Kubu Arundell sebagai aset pelancongan bersejarah di Lubok Antu.
Mengulas aspek kelestarian, Rohani berkata setiap projek yang dilaksanakan mengambil kira keseimbangan antara pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar bagi memastikan sumber semula jadi terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Beliau berkata kerjasama strategik dengan WWF-Malaysia membolehkan kajian dan pemantauan dilakukan lebih awal, terutama melibatkan kawasan sensitif seperti Gunung Lesong dan Batang Ai yang menjadi habitat penting hidupan liar.
Pada masa sama, projek pelancongan berskala besar yang sedang dibangunkan dijangka membuka peluang pekerjaan baharu serta merancakkan ekonomi komuniti melalui penglibatan dalam sektor perkhidmatan, hospitaliti dan keusahawanan digital.
Rohani berkata generasi muda perlu memanfaatkan perkembangan teknologi untuk mempromosikan keunikan budaya, produk tempatan dan destinasi pelancongan Sri Aman kepada pasaran yang lebih luas menerusi platform digital.
Beliau yakin peranan SADA akan terus relevan dalam mempercepat transformasi pembangunan wilayah menjelang 2030, sekali gus memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh rakyat di Bahagian Sri Aman.