News & Updates

RM28 Juta Dilulus Bagi Naik Taraf Sistem Perparitan Kampung Muhibbah
Tarikh : 15 Mar 2026  Sumber Berita: UKAS
 

SIMANGGANG: Kerajaan Sarawak bakal melaksanakan projek menaik taraf sistem perparitan di lima zon penempatan Kampung Muhibbah termasuk Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Fasa 1 dan 2 dalam bandar ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, projek menaik taraf sistem perparitan di tujuh lokasi berkenaan akan menelan kos perlaksanaan sebanyak RM28 juta.

"Peruntukan bagi melaksana projek terbabit sudah pun dilulus dengan reka bentuk pelannya termasuk titik pelepasan air (outlet) daripada sistem perparitan berkenaan juga sudah dihasilkan.

"Projek berkenaan sudah pun melalui proses tender. Kini, hanya tinggal penyerahan dokumen kontrak kepada kontraktor yang berjaya memperoleh tender bagi melaksana projek menaik taraf sistem perparitan terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Bantuan Sejambak
Kasih anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Paya Jaya Selatan Kampung Muhibbah Sri Aman di kediaman Ketua Kampungnya, Shaibi Bakir, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang turut memberitahu bahawa kerja menaik taraf sistem perparitan di tujuh lokasi berkenaan akan mula dilaksana sebaik sahaja dokumen kontrak terbabit diserah kepada kontraktornya dalam masa terdekat ini.

"Saya akan mengajak Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) mengadakan dialog bersama penduduk dari tujuh lokasi terbabit agar mereka diberi taklimat mengenai kerja menaik taraf sistem perparitan terbabit di penempatan mereka," katannya.

Terdahulu, JKKK Paya Jaya Selatan Kampung Muhibbah Sri Aman melalui majlis itu telah pun menyerahkan wang tunai sebanyak RM100 kepada setiap 30 penerima berkelayakan dari penempatan mereka.

Tujuan JKKK Paya Jaya Selatan Kampung Muhibbah Sri Aman pimpinan KK Shaibi Bakir menganjurkan majlis itu adalah untuk menghargai sumbangan yang dilakukan oleh para ahli JKKK di samping membantu golongan yang amat memerlukan bantuan. -EDISI UKAS