News & Updates

Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Mengadakan Lawatan Pemantauan Prestasi Penyampaian Projek Perkhidmatan Awam
Tarikh : 13 Mar 2026  Sumber Berita: UKAS
 

SRI AMAN: Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel telah mengadakan lawatan kerja pada pagi ini bagi memantau prestasi penyampaian projek perkhidmatan awam di Bahagian Sri Aman.

Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan setiap projek pembangunan yang dilaksanakan oleh agensi kerajaan dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Antara tumpuan utama pada pagi ini adalah projek penambahbaikan jalan di dalam Bandar Simanggang yang dijangka dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat dari segi kemudahan pergerakan dengan akses jalan yang lebih baik, selesa dan selamat.

Semasa lawatan tersebut, Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel turut diberi taklimat mengenai status semasa projek-projek pembangunan yang sedang dilaksanakan di Bahagian Sri Aman, termasuk beberapa cabaran pelaksanaan serta langkah-langkah penambahbaikan yang perlu diambil bagi memastikan projek dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Beliau menegaskan sinergi dan kerjasama di antara agensi-agensi pelaksana amat penting bagi memastikan setiap projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan telus, selaras dengan komitmen Kerajaan Sarawak dalam mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat.

Turut hadir bersama Ir. Wisil Lichok, Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak (Infrastruktur), Mahra Salleh, Residen Bahagian Sri Aman, Charlie Keling, Timbalan Residen Bahagian Sri Aman, Ir. Ts. Teo Nguong Leong, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Coastal & Second Trunk Road (CSTR), Ts. Lenny Busuri, Jurutera Bahagian (Sri Aman), serta agensi pelaksana dan pegawai-pegawai teknikal yang berkaitan.-EDISI UKAS