| SADA laksana sembilan projek bernilai RM337 juta tahun ini |
|
Tarikh : 11 Mar 2026 Sumber Berita: The Malaysia Press |
|
SRI AMAN – Sembilan projek di bawah Sri Aman Development Agency (SADA) bakal dilaksanakan tahun ini yang bernilai lebih RM337 juta seterusnya dijangka memacu pertumbuhan ekonomi serta pembangunan di daerah ini.
Pengerusi SADA, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, sebanyak 80 projek keseluruhan di bawah seliaan SADA yang kebanyakannya merupakan projek infrastruktur seperti jalan raya, jambatan serta jalan ladang.
Katanya, sebanyak 12 projek telah siap dilaksanakan, manakala beberapa lagi masih berada pada peringkat awal perancangan serta reka bentuk akhir sebelum dimulakan.
“Salah satu projek yang sedang dilaksana adalah pembinaan jalan sepanjang enam kilometer dan sebuah jambatan sepanjang 100 meter dari Banting-Gunung Lesong-Engkeranji dengan anggaran kos RM80 juta.
“Apabila projek ini siap nanti, ianya akan meningkatkan dan menghubungkan kawasan pedalaman ke kawasan bandar selain membuka pembangunan sektor pelancongan baharu khususnya di Gunung Lesong seperti keindahan air terjun, lokasi habitat Orang Utan, dan sebagainya,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Berbuka Puasa anjuran SADA, semalam.
Ujar beliau lagi, pelaksanaan projek-projek berkenaan sememangnya memerlukan kerjasama erat daripada pelbagai pihak termasuklah agensi pelaksana, agensi teknikal serta rakan strategik SADA.
“Apabila projek-projek ini siap kelak, ia sudah tentu akan memberi manfaat besar kepada komuniti di Sri Aman, khususnya dalam meningkatkan kemudahan, kesejahteraan serta peluang pembangunan ekonomi,” tambahnya.
|