News & Updates

Media, Ketua Masyarakat Rakan Penting Pembangunan Sri Aman
Tarikh : 10 Mar 2026  Sumber Berita: UKAS
 

SRI AMAN: Peranan pengamal media dan ketua masyarakat amat penting dalam memastikan pelaksanaan projek pembangunan di Bahagian Sri Aman dapat disampaikan dengan tepat serta memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Pengerusi Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) merangkap Penasihat Premier Sarawak (Pemantauan Projek dan Program Luar Bandar), Dato Sri Rohani Abdul Karim berkata, kerjasama semua pihak termasuk agensi pelaksana, rakan media dan pemimpin masyarakat amat signifikan dalam menjayakan pelbagai inisiatif pembangunan di kawasan tersebut.

Menurutnya, media memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat berkaitan program dan projek pembangunan kepada masyarakat supaya setiap usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan dapat difahami dengan lebih jelas oleh rakyat.

“Sokongan rakan media amat dihargai kerana mereka membantu menyampaikan maklumat mengenai pelbagai inisiatif dan program pembangunan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Berbuka Puasa anjuran SADA di sini pada Selasa yang turut dihadiri Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh.

Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada ketua masyarakat yang sentiasa memberi kerjasama kepada pihak SADA, khususnya dalam membantu menjayakan sesi libat urus bersama komuniti.

Tambah beliau, kerjasama erat antara semua pihak amat penting bagi memastikan projek-projek pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar serta disiapkan mengikut jadual.

“Apabila projek-projek ini siap kelak, ia sudah tentu memberi manfaat besar kepada komuniti di Bahagian Sri Aman, khususnya dalam meningkatkan kemudahan, kesejahteraan serta peluang pembangunan ekonomi di kawasan ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berharap kerjasama antara SADA, agensi teknikal, pihak media serta rakan strategik akan terus diperkukuh bagi memastikan segala usaha pembangunan di Bahagian Sri Aman dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Majlis berbuka puasa tersebut turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara rakan media, ketua masyarakat serta agensi pelaksana projek yang terlibat dalam pembangunan di Bahagian Sri Aman.-EDISI UKAS