News & Updates

SEMBILAN PROJEK SADA BERNILAI RM337 JUTA DIJANGKA DILAKSANAKAN TAHUN INI
Tarikh : 10 Mar 2026  Sumber Berita: RTM Sarawak
 

SRI AMAN, 10 Mac – Sebanyak sembilan projek di bawah Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) dijangka dilaksanakan tahun ini dengan anggaran kos keseluruhan RM337 juta.
Pengerusi SADA, Dato Sri Rohani Abdul Karim berkata projek-projek berkenaan merupakan sebahagian daripada 80 projek pembangunan yang telah dicadangkan oleh jabatan dan agensi di Bahagian Sri Aman.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 12 projek telah siap dilaksanakan, manakala beberapa lagi kini berada pada peringkat perancangan serta reka bentuk akhir sebelum dimulakan.
Beberapa projek dijangka bermula tahun ini dan kebanyakannya melibatkan pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, jambatan serta jalan ladang.
Tambahnya, keutamaan diberikan kepada projek yang dapat meningkatkan tahap konektiviti, memandangkan masih terdapat kampung dan rumah panjang di kawasan SADA yang belum mempunyai kemudahan perhubungan yang baik.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa SADA yang diadakan di Sri Aman.
Antara projek utama yang dijangka dilaksanakan ialah pembinaan sebuah jambatan dan jalan sepanjang enam kilometer dari Keranji ke Gunung Lesung dengan kos kira-kira RM80 juta.
Projek berkenaan bukan sahaja akan meningkatkan akses ke kawasan tersebut, malah berpotensi membuka pembangunan sektor pelancongan baharu khususnya Gunung Lesung Eco Tourism yang disasarkan menjadi projek ikonik SADA.