News & Updates

SAINS Bekerjasama Dengan HPE Perkukuh Infrastruktur AI Berdaulat
Tarikh : 06 Mar 2026  Sumber Berita: UKAS
 

BARCELONA: Sarawak terus memperkukuh agenda kedaulatan digital negeri apabila Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS) memeterai kerjasama strategik dengan Hewlett Packard Enterprise (HPE) bagi membangunkan keupayaan kecerdasan buatan (AI) berdaulat serta memperkukuh infrastruktur awan peribadi kerajaan Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif SAINS, Busiai Seman berkata, kerjasama tersebut mengukuhkan komitmen SAINS dalam membangunkan ekosistem digital yang selamat dan berdaulat, sekali gus mempercepat penyampaian perkhidmatan digital serta memastikan kedudukan data dan kawalan kerajaan sentiasa terpelihara.

“Melalui kerjasama ini, kami berhasrat mewujudkan asas AI dan awan yang diyakini, melindungi data negeri, meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam serta menyokong pertumbuhan ekonomi digital Sarawak dalam jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Kerjasama tersebut menetapkan rangka kerja pembangunan asas awan peribadi yang selamat dan berdaulat, di samping menyokong penubuhan infrastruktur AI berdaulat bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam, memperkukuh kecekapan operasi kerajaan serta membangunkan bakat AI tempatan.

Sementara itu, Pengarah Urusan HPE Malaysia, Toh Kean Cheah berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan SAINS dalam memperkasa keupayaan AI berdaulat serta memperkukuh infrastruktur awan peribadi di Sarawak.

“Kepakaran kami dalam penyediaan infrastruktur digital yang selamat bertaraf perusahaan akan membantu SAINS membangunkan asas digital yang berskala, berdaya tahan serta bersedia untuk masa hadapan, sekali gus merangsang inovasi sambil memastikan kedaulatan data terus terpelihara,” ujarnya.

Di bawah perjanjian tersebut, HPE akan menyokong usaha pemodenan persekitaran awan peribadi kerajaan melalui penyediaan infrastruktur yang berskala dan berasaskan permintaan, selain menawarkan perkhidmatan fleksibel berasaskan penggunaan.

HPE turut memperkenalkan sistem AI selamat yang disokong oleh pengkomputeran berprestasi tinggi, penyelesaian storan yang boleh dipercayai, keselamatan rangkaian termaju serta platform operasi AI bertaraf perusahaan bagi membolehkan pembangunan dan pengurusan aplikasi AI dilaksanakan dengan lebih cekap.

Kerjasama ini turut memperkukuh komitmen Sarawak terhadap kedaulatan digital dengan memastikan data AI, model serta beban kerja pengkomputeran kekal berada dalam bidang kuasa negeri, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada awan awam luar serta platform AI yang tidak berdaulat.

Majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) tersebut berlangsung sempena Mobile World Congress (MWC) 2026 di Barcelona dan disaksikan oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Telekomunikasi), Datuk Liwan Lagang yang mewakili Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi.

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Operasi SAINS, Andrew Chien dan Pengurus Besar Client Sales APAC merangkap Pengarah Urusan Indonesia HPE, Jason Ong.

SAINS merupakan penyedia penyelesaian ICT utama di Sarawak dan pemacu transformasi digital negeri yang komited mempercepat pembangunan ekonomi digital melalui penyediaan perkhidmatan ICT menyeluruh termasuk penyelesaian perniagaan serta integrasi sistem bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui penggunaan teknologi secara berkesan.-EDISI UKAS