|
SRI AMAN: Pejabat Residen Bahagian Sri Aman merancang melaksanakan satu kajian mengenai kelestarian spesis ikan bulu di kawasan Sungai Batang Lupar, Sri Aman.
Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh berkata, kajian terbabit bertujuan untuk memastikan ikan bulu sentiasa membiak di kawasan Sungai Batang Lupar sepanjang tahun dan bukan hanya bermusim.
"Kajian berkenaan akan melibatkan pemantauan terhadap musim mengawan spesis ikan berkenaan termasuk waktu penghasilan telur dan tempoh masa tumbesaran anak ikan terbabit di Sungai Batang Lupar.
"Data kajian ini akan membolehkan kita melaksana usaha melestarikan ikan bulu di sungai terbabit dan seterusnya memastikan bekalannya tidak putus dalam kalangan pengusaha produk berasaskan ikan itu termasuk peminatnya di Sri Aman," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa Majlis Perasmian Hab Pemprosesan Produk Berasaskan Ikan Bulu di Kampung Pasir Panas di sini pada Selasa.
Selain itu, ikan bulu menurut Mahra juga memiliki potensi untuk diangkat sebagai salah satu produk bagi menarik kedatangan pelancong domestik dan luar negara ke Sri Aman pada masa akan datang.
"Jika bercakap mengenai produk pelancongan yang ada di Bahagian Sri Aman, kita mempunyai produk madu kelulut di Lubok Antu, penghasilan manik, Gunung Lesung dan yang ikonik sekali adalah Pesta Benak.
"Kesemua produk ini akan membolehkan Bahagian Sri Aman membantu kerajaan untuk mencapai sasaran kemasukan antara empat hingga lima juta pelancong ke Sarawak pada tahun ini," katanya.
Hab Pemprosesan Produk Berasaskan Ikan Bulu ODEL ini adalah merupakan hub pertama pemproses spesis ikan terbabit yang dibuka dalam kawasan Sri Aman oleh pengusahanya iaitu Nur 'Izzati Zalaluddin.
Hab berkenaan memproses sejumlah 250 kilogram ikan bulu yang dibeli daripada nelayan untuk menghasilkan sejumlah 200 produk sedia makan dengan catatan keuntungan sebanyak RM3,000. -EDISI UKAS |