|
SRI AMAN: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg optimis atlet Sarawak memiliki keupayaan dan persiapan rapi untuk mempertahankan kejuaraan keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 pada Ogos depan.
Jelasnya, perumpamaan anak Sarawak diletak di laut menjadi pulau, diletak di darat menjadi gunung akan membuktikan bahawa anak negeri ini mampu mencipta kejayaan meskipun terpaksa bertandang ke gelanggang lawan.
“Kita mahu SUKMA seperti itu juga (perumpaan), kita yang akan ‘champion’, walaupun SUKMA di Selangor, tidak di Kuching, tidak di Sarawak tetapi ayuhlah, di Selangor pun kita akan berjuang habis-habisan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penangguhan SUKSAR IV 2026 Betong-Sri Aman di sini, pada Ahad.
Datuk Patinggi Abang Zohari berkata anak Sarawak mempunyai bakat yang tinggi dalam sukan, dengan beberapa nama besar seperti ‘Kilat Boy’, atlet-atlet renang Sarawak dan sukan bola sepak yang semakin naik pada hari ini.
Pada esisi kali ini, pecutan akhir Zon Utara dalam memungut kutipan pingat membolehkan mereka muncul selaku juara keseluruhan SUKSAR IV 2026, sekaligus menafikan impian Zon Selatan mempertahankan kejuaraan mereka pada edisi yang lalu.
Zon Utara berjaya mengutip 108 pingat secara keseluruhannya dengan 39 pingat emas, 37 pingat perak dan 32 pingat gangsa.
Sementara itu, Kenny Lim Zheng Xian dari kem basikal Zon Selatan menjadi Olahragawan Harapan setelah membolot empat emas manakala Nur Ain Ramadhania Abdullah dari kem basikal Zon Barat muncul selaku Olahragawati Harapan setelah sama merangkul empat pingat emas.
Hadir sama, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Pengerusi SUKSAR IV 2026 Datuk Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis, Timbalan-Timbalan Pengerusi Bersama SUKSAR IV 2026 Mahra Salleh dan Datu Richard Michael Abunawas, Pemangku Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak Khairul Nizam Morshidi, Ahli-Ahli Yang Berhormat serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS |