|
SRI AMAN: Fasiliti sukan milik kerajaan negeri seperti stadium dan padang sukan perlu dimanfaatkan sepenuhnya, termasuk dibuka untuk kegunaan pihak sekolah bagi melahirkan lebih ramai atlet berpotensi dari peringkat akar umbi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, langkah strategik itu merupakan pelaburan jangka panjang Kerajaan Sarawak dalam pembangunan sukan apabila kemudahan bertaraf negeri tidak dibiarkan terbiar, sebaliknya dimanfaatkan sebagai pusat latihan berterusan untuk pelajar dan belia.
“Kerajaan kita di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus meningkatkan kemudahan-kemudahan sukan kita dan ini dapat digunakan oleh sekolah.
“Jangan kita bangunkan stadium, tetapi tidak dipakai dengan rumputnya yang panjang. Kita buat stadium, biar sekolah pakai,” tegas beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap pdalam Majlis Penangguhan SUKSAR IV 2026 Betong-Sri Aman di sini, pada Ahad.
Menurut beliau, kemudahan sukan yang dibina menggunakan peruntukan besar kerajaan negeri perlu diakses secara mudah oleh sekolah, tanpa dikenakan caj yang membebankan, agar latihan dan pembangunan bakat sukan dapat dijalankan secara konsisten.
“Jangan kenakan cas tinggi sangat, gunakanlah stadium dan padang sukan kita kerana Kerajaan Sarawak menghabiskan banyak untuk tujuan ini.
“Negeri lain perlu menunggu kerajaan pusat, kita di Sarawak tidak perlu meminta dan menunggu pun kita buat fasiliti sukan dan saya hanya meminta kemudahan ini digunakan,” ujar beliau lagi. -EDISI UKAS |