Sarawak ID | Register

Sri Aman Development Agency

Bridging Gaps, Unleashing Potentials

Polls
Announcements

News & Updates

Zon Utara Rampas Kejuaraan SUKSAR, Ulangi Pencapaian Edisi 2017
Tarikh : 08 Feb 2026  Sumber Berita: UKAS
 

SIMANGGANG: Kontinjen Zon Utara diwakili Miri, Bintulu dan Limbang berjaya merampas semula kejuaraan Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 yang melabuhkan tirainya di Sri Aman pada Ahad.

Ia kejuaraan kali kedua buat Zon Utara setelah melakukannya pada edisi pertama SUKSAR di Kuching pada 2017.

Dengan membariskan seramai 227 atlet, kontinjen tersebut nyata unggul apabila merangkul keseluruhan 103 pingat dengan pecahan 39 emas, 37 perak dan 32 gangsa untuk bergelar juara.

Acara angkat berat menjadi penyumbang terbesar pungutan emas zon tersebut sebanyak 15 pingat, jauh mengatasi kontinjen lain.

Manakala karate menyumbang 9 pingat emas, disusuli ping pong dengan 4 emas, 3 emas masing-masing dari acara taekwondo dan basikal gunung, selain 2 emas dari acara petanque.

Tinju, sepak takraw dan sofbol pula masing-masing menyumbang 1 pingat emas.

Juara bertahan, Zon Selatan yang dipintas pada saat akhir di kedudukan kedua dengan 30 emas, 28 perak dan 24 gangsa.

Bagaimanapun, ia tetap pencapaian membanggakan buat Zon Selatan apabila berjaya mendominasi tiga acara iaitu taekwondo dengan 9 emas, tinju 8 emas dan berbasikal 5 emas.

Acara petanque dan sepak takraw masing-masing menyumbang 2 emas, sambil acara karate, basikal gunung, bola jaring dan bola keranjang masing-masing mengutip 1 emas.

Tuan rumah edisi kali ini, Zon Barat menghuni tangga ketiga dengan kutipan 19 emas, 14 perak dan 36 gangsa.

Acara berbasikal perlumbaan lebuh raya menjadi penyumbang terbesar kontinjen ini dengan 5 emas, disusuli 3 emas masing-masing menerusi acara sepak takraw, ping pong dan petanque.

Dua lagi emas dari acara angkat berat, manakala 1 emas masing-masing disumbangkan menerusi acara tinju, karate dan taekwondo.

Sementara itu, Zon Tengah akur di tangga keempat dengan kutipan 17 emas, 24 perak dan 34 gangsa.

Acara angkat berat menjadi penyumbang terbesar kontinjen ini dengan 7 emas, taekwondo 6 emas, manakala karate 2 emas.

Tinju dan bola keranjang pula menghadiahkan 1 emas.

Sementara itu, atlet berbasikal Zon Selatan, Zhen Xiang Kenny Lim dinobatkan selaku Olahragawan Harapan SUKSAR IV 2026 selepas kejayaannya menggondol 4 pingat emas.

Anugerah Olahragawati Harapan pula menjadi milik atlet berbasikal Zon Barat, Nu Ain Ramadhania Abdullah, juga hasil kejayaan merangkul 4 pingat emas.

Majlis penutupan SUKSAR IV 2026 telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sr (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Sri Aman pada Ahad. - EDISI UKAS