Sarawak ID | Register

Sri Aman Development Agency

Bridging Gaps, Unleashing Potentials

Polls
Announcements

News & Updates

Kerajaan Sarawak Terus Perkasa Usaha Pembangunan Modal Insan Berkualiti
Tarikh : 10 Feb 2026  Sumber Berita: UKAS
 

SRI AMAN: Kerajaan Sarawak akan terus mempergiat usaha melahirkan modal insan yang cemerlang bagi menyokong pembangunan negeri serta negara pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah pengenalan Ujian Penilaian Dual Language Programme Sarawak (UP-DLP) bagi pelajar peringkat sekolah rendah.

Menurut beliau, UP-DLP bertujuan menilai tahap penguasaan murid, khususnya dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, susulan pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

"Pelaksanaan langkah terbabit akan membolehkan kerajaan mencari kelemahan dan seterusnya mewujudkan intervensi yang sesuai untuk mengatasi kelemahan terbabit bagi membantu pelajar membina keyakinan diri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pembangunan Komuniti anjuran Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) di Rumah Reggie Beria, San Kemantan, Undop, di sini, baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu turut menjelaskan, usaha melahirkan modal insan turut diperkukuh menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif pendidikan oleh Kerajaan Sarawak, antaranya seperti Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), baucar buku, Skim Laptop Percuma, Skim Graduan Pulang Sarawak (GPS) serta Bantuan Khas Pelajar Sarawak dan sebagainya.

Menurutnya lagi, di Simanggang, kerajaan telah menubuhkan Sarawak Skills yang menawarkan pelbagai kursus bersesuaian dengan permintaan tenaga buruh masa kini kepada lepasan sekolah menengah.

Selain itu, Datuk Francis Harden berkata, Sarawak Skills turut menawarkan kursus jangka pendek kepada komuniti setempat bagi meningkatkan pengetahuan mereka dalam bidang tertentu.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat Sarawak terus memberikan sokongan padu kepada Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg agar visi dan misi pembangunan negeri dapat direalisasikan.

Terdahulu, Program Pembangunan Komuniti MDSA memfokuskan kepada kesedaran mengenai kebersihan dan kesejahteraan komuniti di rumah panjang dengan penduduk turut disajikan dengan beberapa ceramah oleh agensi kerajaan.

Antara ceramah yang disampaikan dalam program berkenaan ialah penyalahgunaan dadah, pencegahan penyakit berjangkit, kemas kini skim bantuan kebajikan dan kepentingan lesen kedai kampung.-EDISI UKAS