News & Updates

AirBorneo Umum Pelancaran Laman Sesawang & Pusat Panggilan 10 Disember Ini
Tarikh : 09 Dec 2025  Sumber Berita: UKAS News
 

KUCHING: AirBorneo melakar satu lagi detik penting dalam perkembangan syarikat apabila mengumumkan pelancaran rasmi laman sesawang dan pusat panggilannya pada 10 Disember 2025, sekali gus menandakan permulaan penjualan tiket bagi pengambilalihan operasi MASwings hujung bulan ini.

Menerusi kenyataan media syarikat berkenaan pada Selasa, perkembangan ini membuka lembaran baharu dalam penyediaan perkhidmatan penerbangan domestik di Sabah dan Sarawak, selaras dengan usaha kerajaan meningkatkan kesalinghubungan udara bagi kemudahan rakyat.

“Bagi pembelian tiket baharu untuk perjalanan sehingga 13 Januari 2026, penumpang diminta untuk terus membuat pembelian melalui laman sesawang MASwings di maswings.com.my seperti biasa.

“Sementara itu, bagi perjalanan bermula 14 Januari 2026, semua tempahan tiket hendaklah dibuat melalui laman sesawang baharu AirBorneo di airborneo.com.

“Selain platform digital tersebut, pelanggan juga mempunyai pilihan untuk membuat tempahan menerusi pusat panggilan AirBorneo yang boleh dihubungi melalui talian 1-300-22-1388 (bebas tol untuk pemanggil dalam Malaysia) atau (+60) 82-537 555 bagi pemanggil antarabangsa,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, AirBorneo turut menegaskan bahawa semua tiket dan tempahan MASwings yang sedia ada kekal sah, tanpa sebarang perubahan terhadap jadual penerbangan.

“Penumpang yang memiliki tiket untuk perjalanan pada atau selepas 14 Januari 2026 akan menerima makluman individu mengenai proses pengeluaran semula tiket di bawah AirBorneo,” menurut kenyataan itu lagi.

Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh melayari airborneo.com dan merujuk bahagian Soalan Lazim (FAQ) manakala
Khidmat pelanggan AirBorneo juga boleh dihubungi di talian 1-300-22-1388 atau (+60) 82-537 555 bagi sebarang pertanyaan berkaitan penjualan tiket dan proses peralihan. -EDISI UKAS