News & Updates

Mesyuarat Pemandu SADA Tumpu Usaha Percepat Pelaksanaan Projek
Tarikh : 11 Dec 2025  Sumber Berita: Edison UKAS
 

SRI AMAN: Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) Bil. 3/2025 memberi tumpuan kepada usaha memperkemas pelaksanaan projek serta menangani isu berbangkit melibatkan agensi pelaksana.

Pengerusinya, Dato Sri Rohani Abdul Karim berkata, setakat ini hanya 10 daripada 80 projek pembangunan SADA telah disiapkan, manakala 61 masih di peringkat perancangan dan sembilan lagi dalam pelaksanaan.

Beliau menegaskan keperluan setiap agensi berkaitan memperincikan status projek masing-masing, termasuk mengenal pasti halangan serta mengemukakan langkah penyelesaian bagi memastikan projek dapat dilaksanakan mengikut jadual.

Sehubungan itu, beliau berharap proses reka bentuk projek dapat diselesaikan menjelang 2026 bagi membolehkan pelaksanaan berjalan lebih lancar.

Beliau dalam pada itu turut memaklumkan bahawa pejabat SADA bakal berpindah ke bangunan lama Pejabat Residen Sri Aman menjelang September 2026, dan berharap kerja-kerja naik taraf dapat disegerakan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR).

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan Datuk Mong Dagang, ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor dan Timbalan Pengerusi SADA Datuk Amar Jaul Samion. -EDISI UKAS