| RANDO Sri Aman sasar cemerlang di Karnival Sukan Sarawak 2025 |
|
Tarikh : 30 Oct 2025 Sumber Berita: TVS |
|
SRI AMAN, 30 Okt: Kontinjen Pejabat Residen dan Pejabat Daerah (RANDO) Bahagian Sri Aman bersedia “terbang tinggi” dengan sasaran menempatkan diri dalam lima pasukan terbaik pada Karnival Sukan RANDO Sarawak 2025 di Samarahan, 6 hingga 9 November ini. Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh, berkata keyakinan tinggi diberikan kepada acara Pickleball untuk pingat emas, selain bola jaring dan bola sepak untuk gangsa, serta harapan mara ke separuh akhir dalam badminton dan ping pong. “Kita tampil dengan semangat baharu dan keyakinan tinggi, terutama selepas kontinjen Sri Aman muncul naib juara perbarisan semasa Sambutan Hari Jadi TYT Sarawak baru-baru ini. Kejayaan itu membuktikan disiplin dan komitmen pasukan sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya. Beliau juga Ketua Kontinjen RANDO Bahagian Sri Aman berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Jersi Kontinjen RANDO Bahagian Sri Aman yang diadakan di perkarangan Pejabat Residen Sri Aman, hari ini. Katanya, kejohanan tersebut bukan sahaja medan persaingan sukan, tetapi juga platform memperkukuh jaringan kerja dan perpaduan antara Pejabat Residen serta Pejabat Daerah di seluruh Sarawak. “Kita mahu semangat ‘Bangkit RANDO Sri Aman, Bangkit Terbang Tinggi’ bukan hanya dilaungkan di gelanggang, tetapi diterjemahkan dalam tugas seharian sebagai penjawat awam yang berkhidmat untuk rakyat,” ujarnya. Mahra turut mengingatkan semua peserta agar mengekalkan disiplin, etika dan semangat kesukanan sepanjang karnival berlangsung sebagai lambang nilai murni dan citra profesional warga perkhidmatan awam Bahagian Sri Aman. Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Residen Bahagian Sri Aman, Charlie Keling; Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang; Wakil Pegawai Daerah Lingga, Nurshazani Fadli Salihin serta wakil dari Daerah Pantu dan Lubok Antu, bersama para pengurus pasukan dan ahli kontinjen. Dengan tema warna rasmi biru serta logo burung merpati sebagai simbol kekuatan, kesetiaan dan tekad, kontinjen kali ini dibarisi 94 peserta terdiri daripada 61 lelaki dan 33 wanita. Berbekalkan tekad “Merpati Terbang Tinggi”, kontinjen RANDO Sri Aman bersiap sedia mengharumkan nama bahagian di pentas Karnival Sukan RANDO Sarawak 2025.-TVS |