Sarawak ID | Register

Sri Aman Development Agency

Bridging Gaps, Unleashing Potentials

Polls
Announcements

News & Updates

VTP lahirkan lebih 1,000 peserta berkemahiran di Sri Aman
Tarikh : 10 Oct 2025  Sumber Berita: TVS
 

SIMANGGANG, 10 Okt: Program Transformasi Desa (VTP) Siri Keempat yang berlangsung di Bahagian Sri Aman berjaya melahirkan lebih 1,000 peserta berkemahiran dalam pelbagai bidang keusahawanan dan teknikal.

Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Pemantauan Projek dan Program Luar Bandar), Dato Sri Rohani Abdul Karim berkata, pencapaian itu membuktikan masyarakat luar bandar kini semakin berdaya saing hasil peningkatan ilmu dan kemahiran yang diterapkan sepanjang siri latihan tersebut.

Menurutnya, program yang dilaksanakan di bawah inisiatif Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) itu menjadi antara platform terbaik memperkasa komuniti luar bandar melalui pembangunan kemahiran dan peluang penjanaan pendapatan.

“Saya sangat terpegun dan tertarik hati kerana ini satu program pengukuhan yang wajar digalakkan. Tidak semua daerah di Sarawak dipilih untuk menyertai kursus ini, jadi yang terpilih dianggap bertuah. Harapan saya, ilmu yang diperoleh dapat dikongsi apabila pulang ke kampung supaya lebih ramai yang mendapat manfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Transformasi Desa (VTP) Siri 4/2025 Bahagian Sri Aman yang dianjurkan bersama Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) dan Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU), hari ini.

Rohani menjelaskan, walaupun peserta yang terpilih hanya sebilangan kecil, mereka memikul tanggungjawab besar untuk membantu melatih dan berkongsi ilmu dengan penduduk kampung lain agar manfaat program itu dapat diperluaskan.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan penggunaan media sosial sebagai platform baharu untuk memasarkan hasil kraftangan serta produk tempatan ke pasaran yang lebih luas.

“Sekarang ini, menjual secara dalam talian jauh lebih pantas dan berkesan berbanding cara konvensional. Kita perlu menyesuaikan diri dengan perubahan agar produk tempatan mampu menembusi pasaran lebih besar,” ujarnya.

Selain itu, Rohani juga menggalakkan pendekatan ‘Satu Kampung, Satu Produk’ (1K1P) bagi membolehkan setiap kampung mempunyai identiti tersendiri melalui penghasilan produk tempatan.

Beliau berkata, usaha itu sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk membentuk masyarakat luar bandar yang inklusif, berdaya saing dan mampu menjana pendapatan secara berterusan menjelang tahun 2030.

Turut hadir Dr Nadia Natra Musa yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS Sarawak, Pengarah SIMU, Sapiah Daud, Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang dan Pegawai Daerah Pantu, Frank Lani. -TVS