Sarawak ID | Register

Sri Aman Development Agency

Bridging Gaps, Unleashing Potentials

Polls
Announcements

News & Updates

Sri Aman fokus perbincangan strategik pembangunan usahawan
Tarikh : 24 Sep 2025  Sumber Berita: Suara Sarawak
 

SIMANGGANG: Perbincangan strategik pelbagai pihak berkepentingan di Bahagian Sri Aman dijangka memperkukuh pembangunan usahawan serta menjana peluang ekonomi di sini.

Menurut Sekretariat Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA), menerusi sesi perbincangan strategik pembangunan usahawan dan ekonomi Bahagian Sri Aman yang berlangsung di Wisma Sumber Alam telah menyentuh beberapa cadangan.

“Pertamanya, cadangan projek daripada SADA untuk dipertimbangkan ke dalam pelan pembangunan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED).

“Kedua, cadangan penempatan usahawan tempatan bagi menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta meningkatkan daya saing usahawan di Bahagian Sri Aman.

“Selain itu, mengkaji peluang ekonomi yang boleh diteroka di Bahagian Sri Aman,” kata kenyataan SADA selepas sesi perbincangan yang dipengerusikan Setiausaha Tetap MINTRED, Dzulkornain Masron, semalam.

Jelasnya, penyertaan pelbagai pihak berkepentingan ini mencerminkan kesungguhan bersama dalam memperkukuh pembangunan usahawan serta menjana peluang ekonomi di Bahagian Sri Aman.

Melaluinya juga, diharapkan kerjasama erat antara kementerian, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta komuniti usahawan dapat membuka lebih banyak peluang keusahawanan, memperkukuh pertumbuhan ekonomi setempat serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Pengerusi SADA, Datuk Seri Rohani Abdul Karim; Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh; wakil Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC); Majlis Daerah Sri Aman dan SADA turut hadir sama.