KUCHING: Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki menyeru semua anggota Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) untuk mempersiapkan diri menghadapi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13). Beliau berkata semua anggota SCS mesti memastikan sistem penyampaian kerajaan kekal cekap, relevan dan responsif terhadap keperluan semasa. “Seperti yang digariskan dalam RMK-13, pendekatan pelaksanaan dasar dan projek pembangunan mesti bersifat inklusif, holistik dan mampan. “Ini bermakna sebagai penjawat awam, kita tidak boleh terus berada dalam cara lama dan tidak boleh lagi bergantung kepada pendekatan ‘seperti biasa’,” katanya dalam amanat bulanan pada Rabu. Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan prinsip 3R iaitu Revisit (Tinjau Semula), Rethink (Fikir Semula), Recharge (Segar Semula) amat penting bagi memastikan sistem penyampaian kerajaan kekal cekap, relevan dan responsif terhadap keperluan semasa. Bagi aspek Revisit, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menekankan keperluan untuk menilai di mana kelemahan yang wujud. “Mungkin ada proses kerja yang melambatkan pelaksanaan projek. “Rethink pula menuntut kita memikirkan kaedah baharu yang sesuai dengan keadaan semasa. “Mungkin kaedah atau proses yang ada relevan 20 tahun lalu, tetapi tidak lagi sesuai, terutamanya dalam konteks ekonomi global yang kini berasaskan digitalisasi,” jelasnya. Sebagai penjawat awam, beliau menegaskan bahawa anggota Perkhidmatan Awam Sarawak mesti sentiasa memperbaiki diri dan recharge untuk seiring dengan kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg. “Sebagai penjawat awam Sarawak, kita mesti bergerak sepantas Premier Sarawak. “Kita tidak boleh ketinggalan jauh. Jika beliau bergerak di gear lima, kita tidak boleh berada di gear tiga. “Kita mesti bergerak seiring dan selari supaya aspirasi kita untuk menjadikan Sarawak sebuah wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030 dapat dicapai,” katanya. Datuk Amar Mohamad Abu Bakar turut menyeru semua Ketua Jabatan untuk lebih aktif memainkan peranan kepimpinan. “Kepimpinan bermula dari atas. Jika pemimpin menunjukkan contoh yang baik, maka anak buah akan mengikutinya. “Oleh itu, kita mesti menjadi pemangkin kepada perubahan dan pembaharuan positif,” ujarnya. Dalam hal ini, beliau yakin bahawa dengan semangat berpasukan yang tinggi, disiplin yang kukuh dan dedikasi berterusan, SCS dapat membentuk perkhidmatan awam yang lebih cekap, telus dan berintegriti. “Marilah kita bersama-sama memastikan perkhidmatan yang kita sampaikan sentiasa berada pada tahap terbaik untuk rakyat dan negeri Sarawak,” katanya. -EDISI UKAS |