News & Updates

Sarawak perlu autonomi penjagaan kesihatan: Dr Sim
Tarikh : 02 Aug 2025  Sumber Berita: Utusan Sarawak
 

KUCHING: Sarawak perlu diberikan autonomi dalam sistem penjagaan kesihatan bagi membolehkannya membangunkan pusat trauma menyeluruh di seluruh negeri.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, pengurusan kes kecemasan seperti trauma otak, strok, tumor dan kecederaan tulang belakang memerlukan prasarana lengkap serta pasukan pakar pelbagai bidang yang hanya dapat direalisasikan melalui perancangan dan pembiayaan berasaskan keperluan geografi, bukan populasi semata-mata.

“Sarawak memerlukan pusat trauma di setiap zon utama. Jarak 800 kilometer terlalu jauh untuk menghantar pesakit ke satu-satunya pusat rawatan.

“Kita perlukan kemudahan seperti imbasan CT, pakar bedah saraf, ortopedik, ICU dan pasukan sokongan lengkap di setiap lokasi,” katanya memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Neurosurgeri di Bangunan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di sini, hari ini.

Dr Sim turut memuji usaha Jabatan Neurosurgeri Sarawak yang berkembang pesat sejak 1998 dengan kini mempunyai 19 pakar, termasuk 15 yang masih berkhidmat dalam sektor awam.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan usaha Sarawak mendapatkan autonomi dalam bidang kesihatan merupakan sebahagian daripada tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi membolehkan negeri ini menentukan keutamaannya sendiri dalam merancang sistem penjagaan kesihatan.

“Kita mahukan peralihan kuasa daripada Kerajaan Persekutuan, termasuk dalam aspek perancangan, pembiayaan dan perundangan supaya kita dapat melaksanakan apa yang benar-benar diperlukan oleh rakyat Sarawak,” tegasnya.

Pada masa sama, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap trend penghijrahan doktor tempatan ke luar negara, selain menzahirkan keprihatinan terhadap kecenderungan sistem kesihatan negara ke arah budaya litigasi yang keterlaluan seperti di Amerika Syarikat yang menurutnya boleh membebankan kos perubatan dan insurans.

“Kita perlu pastikan sistem kesihatan kita kekal berperikemanusiaan dan tidak terperangkap dalam tekanan dan tuntutan insurans semata-mata.

“Jika kerajaan boleh memainkan peranan sebagai ‘Good Samaritan’ iaitu membantu tanpa mengharapkan balasan, terutama dalam situasi kecemasan, rakyat pasti akan lebih mempercayai dan menghargai sistem kesihatan kita,” katanya.

Persidangan Neurosurgeri berkenaan menghimpunkan pakar-pakar perubatan dari dalam dan luar negara, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Sarawak untuk membangunkan bakat tempatan serta memperkukuh jaringan profesional dalam bidang neurosurgeri.