Sarawak sedia jadi kuasa ekonomi digital utama serantau: Abang Johari |
Tarikh : 01 Aug 2025 Sumber Berita: Utusan Borneo |
KUCHING: Sarawak kini bersedia menjadi kuasa ekonomi digital utama di rantau ini untuk mencapai pembangunan sosioekonomi yang inklusif, bertanggungjawab dan mampan. Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata untuk mencapai hasrat ini, Kerajaan Sarawak mengorak langkah dengan merangka Tindakan Ekonomi Digital Sarawak (SDE) 2030. Sasaran utama SDE 2030 katanya, adalah untuk memanfaatkan peratusan ekonomi global yang mengalir ke negeri ini melalui strategi mengembangkan aliran data rentas sempadan dan menarik pelaburan digital seperti pusat kecerdasan buatan (AI). "SDE 2030 merupakan antara pengisian Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk mengubah keseluruhan ekonomi dan masyarakat daripada ekonomi berasaskan konvensional kepada ekonomi dipacu teknologi mampan. "Lima tonggak strategik yang menjadi fokus ialah Keutamaan Pertumbuhan Ekonomi, Pembangunan Perniagaan Digital, MentranSformasikan Sektor Awam dan Perkhidmatan, Penggunaan Teknologi Frontier serta Asas Ekonomi Digital. "Kerajaan juga amat menitikberatkan penggunaan teknologi baharu seperti AI, Internet of Things (IoT), Blockchain, 5G dan sebagainya yang secara tidak langsung memacu produktiviti dan kemakmuran masa depan," ujarnya. Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya sempena Majlis Memperingati Hari Bandaraya Kuching Ke-37 yang berlangsung di Pangkalan Sapi di sini hari ini yang dibacakan oleh wakilnya, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas. Seiring dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk menjadi kuasa ekonomi digital utama di rantau ini, Abang Johari menyeru Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menyahut aspirasi terbabit agar terus signifikan dan relevan dengan keperluan digital. Bagi tujuan itu katanya, DBKU dan MBKS perlu mengubah interaksi serta persepsi dengan orang awam termasuk dasar, penyampaian, pemantauan dan penilaian. "Pihak berkuasa tempatan juga dikenali sebagai kerajaan tempatan, memainkan peranan penting dalam mengurus dan membangunkan komuniti kita yang mungkin kelihatan kecil, tetapi memberi kesan langsung kepada kualiti hidup masyarakat setiap hari," katanya. Ujar Abang Johari lagi, tema sambutan Hari Bandaraya Kuching Ke-37, 'Bandar Pintar Perpaduan, Merangkul Masa Depan Lestari' seiring dengan aspirasi Kerajaan Sarawak, khususnya dalam aspek kelestarian. Sempena dengan sambutan itu, Abang Johari turut merakamkan penghargaan kepada kedua-dua datuk bandar DBKU (Dato Hilmy Othman) dan MBKS (Dato Wee Hong Seng) atas usaha menjadikan Kuching sebuah bandar yang selesa untuk didiami dan disayangi. Beliau turut memperingati jasa dan pengorbangan semua datuk bandar terdahulu atas kepimpinan hebat menjadikan Kuching sebagai sebuah bandar raya yang gah dan disegani sehingga sekarang. "Setelah 37 tahun di bawah pimpinan lapan orang Datuk Bandar Kuching Utara dan lima orang Datuk Bandar Kuching Selatan, bandar raya Kuching bergerak pantas dalam melakar nama ke persada dunia. "Perkembangan ini tidak harus terhenti setakat apa yang telah kita miliki. DBKU dan MBKS perlu bersedia menghadapi perkembangan ekonomi digital dan teknologi, seiring perkembangan semasa seluruh dunia pada masa sekarang," katanya. |