News & Updates

KCP SALCRA di Lubok Antu tingkat kecekapan penggunaan hasil sawit: Dr Rundi
Tarikh : 26 May 2025  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

KUCHING: Sektor agroindustri Sarawak mencatat satu lagi pencapaian penting dengan perasmian Kilang Pelumat Isirung (KCP) milik Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) di Lubok Antu.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, penubuhan kilang itu merupakan pelan jangka panjang bagi meningkatkan kecekapan penggunaan hasil sawit dan mengurangkan bergantungan kepada import bahan mentah.

“Kilang ini mempunyai kapasiti 30,000 tan metrik dengan anggaran pendapatan kasar RM58 juta setahun untuk SALCRA.

“Kita ada lima kilang di bawah SALCRA dan kita ada 80 kilang lain di Sarawak dan jika diperluaskan ke semua kilang ini, kita akan dapat menjana lebih pendapatan untuk negeri kita Sarawak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian KCP SALCRA di Lubok Antu hari ini yang dihadiri dan disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

Mengulas lanjut, Dr Rundi berkata terletak di Kompleks Kilang Minyak Sawit SALCRA di Lubok Antu, KCP adalah sebagai sebahagian usaha merealisasikan dasar ekonomi kitaran negeri.



Dr Rundi (kiri) mengiringi Abang Johari (tengah) melawat KCP SALCRA di Lubok Antu. - Gambar UKAS

Penghasilan isirung daripada kilang ini katanya, menyumbang kepada agenda keselamatan makanan Sarawak dengan mengurangkan bergantungan terhadap bahan makanan ternakan import.

Pada majlis itu, Dr Rundi turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan SALCRA serta peserta skim yang telah memberi sokongan padu dan komitmen tidak berbelah bahagi selama ini.

Penubuhan SALCRA pada 1976 katanya, telah memainkan peranan penting dalam membangunan kawasan luar bandar melalui penanaman kelapa sawit yang kini seluas 50,000 hektar.

Hari ini katanya, SALCRA bukan sahaja menumpukan kepada penanaman, tetapi turut berusaha membina satu ekosistem agroindustri yang bersepadu, berdaya tahan dan mampan, selari dengan aspirasi Kerajaan Sarawak.

Kilang Pelumat Isirung (KCP) SALCRA di Lubok Antu memperkukuh industri hiliran kelapa sawit Sarawak. - Gambar UKAS