LUBOK ANTU: Industri kelapa sawit di Sarawak kini semakin mampan apabila bukan sahaja tertumpu kepada penghasilan minyak mentah semata-mata, malah turut diperkukuh melalui pelbagai aktiviti hiliran yang berpotensi tinggi. Pendekatan ini bukan sahaja menambah nilai kepada industri, malah turut menyumbang kepada peningkatan pendapatan berasaskan tanaman tersebut. Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pada masa lalu, industri kelapa sawit lebih berorientasikan kepada penjualan minyak semata-mata. Namun kini, dengan kemajuan teknologi, kelapa sawit turut berupaya menghasilkan bahan api bio untuk kegunaan kapal terbang serta dijadikan sumber makanan untuk haiwan ternakan. Menurut beliau, inisiatif tersebut sejajar dengan dasar pembangunan Sarawak yang berteraskan ekonomi kitaran, iaitu pendekatan yang menggalakkan penggunaan semula bahan bagi mengurangkan pembuangan sisa secara berlebihan yang boleh memberi kesan negatif terhadap alam sekitar. “Sarawak sekarang ini amat menekankan industri ‘waste to energy’ yang mana sisa akan menjadi bahan yang boleh diperbaharui dan dibeli oleh orang ramai dalam bentuk produk lain. “Tadi, saya telah melihat kita mempunyai dua hasilnya( daripada sisa buah kelapa sawit) iaitu yang pertama ialah bahan api bio dan makanan haiwan ternakan termasuk juga baja,” ujar beliau. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pembukaan Kilang Pelumat Isirung (KCP), di sini, pada Sabtu. Menurut beliau, hasil produk yang mesra alam kini ditawarkan harga pasaran global yang premium, menjadikan usaha seumpama ini sebagai salah satu punca pendapatan Sarawak yang baharu. Hal ini jelas beliau, Sarawak amat menekankan pengeluaran produk yang mesra alam menerusi amalan ekonomi kitaran yang menukarkan sisa buangan kepada produk hiliran. Berhubung perkembagan lain, Datuk Patinggi Abang Zohari dalam sesi sidang media selepas majlis berkenaan turut mencadangkan agar petani dan penternak di wilayah ini terus menceburi idea-idea baharu dalam usaha mereka menambahkan nilai komoditi yang sedia ada. Sekiranya perkara tersebut dapat dilaksanakan, beliau menjelaskan impian Sarawak untuk meningkatkan pendapatan isi rumah dan menjadi pengeksport produk tanaman serta ternakan menjelang 2030 dapat dicapai. “Kebanyakkan, pekebun kita mempunyai keluasan tanah seluas dua ekar dan sekiranya tidak menjejaskan tanaman mereka, maka bolehlah ruangan di antara pokok kelapa sawit ini digunakan untuk menternak haiwan. “Kerana sekarang kita tidak bergantung kepada padang ragut untuk memberi makanan kepada ternakan, sebaliknya menggunakan sumber makanan lain contohnya rumput napier yang dicampur dengan sisa daripada kelapa sawit. “Jadi, ia akan menambah pendapatan kepada pekebun kita kerana mereka akan mempunyai dua aliran pendapatan baharu, satunya kelapa sawit dan keduanya ternakan,” jelas beliau lagi. Hadir sama, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom; Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh; Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis; Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi; Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli serta tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS |