News & Updates

SADA Tinjau Teknologi Terowong ECRL Bagi Perancangan Projek Di Temudok
Tarikh : 20 May 2025  Sumber Berita: EDISI UKAS
 

SRI AMAN: Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) telah mengambil langkah proaktif dengan meninjau teknologi pembangunan Terowong 2 Projek ‘East Coast Railway Link’ (ECRL) di Serendah, bagi perancangan projek di Temudok kelak.

Lawatan khusus yang diketuai oleh Pengerusinya, Dato Sri Rohani Abdul Karim adalah untuk meninjau secara dekat kaedah dan teknologi pembinaan terowong moden yang sedang dilaksanakan dalam projek mega tersebut.

Ia bertujuan untuk dijadikan rujukan teknikal dan praktikal bagi kajian kebolehlaksanaan pembinaan terowong yang dicadangkan di Temudok, Sri Aman.

Penekanan diberikan kepada pemahaman terhadap teknik pembinaan, pengurusan risiko serta kesan terhadap alam sekitar dan komuniti setempat.

Menurut Dato Sri Rohani dalam satu kenyataan pada Rabu, pendekatan turun padang ini penting bagi memastikan sebarang projek yang dirancang dapat mengambil iktibar daripada kejayaan dan cabaran projek sedia ada.

Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Pemangku Residen Bahagian Sri Aman merangkap Ahli Jawatankuasa Pemandu SADA, Mahra Salleh; Pegawai Tadbir Khas SADA, Alfred Geling Ason; Wakil Jurutera Bahagian Sri Aman, Yusrie Syafiqsyirazi; dan wakil syarikat juruperunding, Jurutera ADDA Sdn. Bhd.

Pihak kontraktor ECRL turut berkongsi pandangan serta pendekatan teknikal yang digunakan dalam pembinaan terowong berprofil tinggi ini, termasuk perancangan sebelum pembinaan, pemantauan struktur, dan pemuliharaan kawasan persekitaran.

Lawatan ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan terowong yang lebih mampan dan inovatif di Sri Aman, selaras dengan matlamat SADA untuk memacu pembangunan infrastruktur yang moden, selamat dan berdaya tahan di wilayah tersebut. -EDISI UKAS