KUCHING: Sekretariat Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) yang diketuai oleh Pengerusinya, Dato Sri Rohani Abdul Karim telah mengadakan lawatan kunjungan hormat ke Sarawak Multimedia Authority (SMA) baru-baru ini. Objektif utama kunjungan ini adalah untuk membina kerjasama strategik antara SMA dan SADA serta membincangkan pelbagai inisiatif yang boleh diadaptasi di Bandar Simanggang bagi merealisasikan pembangunan Bandar Pintar selari dengan matlamat Pelan Strategik Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030. Dalam sesi perbincangan, SMA memaklumkan bahawa penarafan Smart City mempunyai empat tahap dengan setiap tahap memiliki kriteria tertentu. Berdasarkan potensi yang ada, Sri Aman berpeluang untuk mencapai Tahap 1 (Smart City Early Adopter), tertakluk kepada pemenuhan kriteria yang ditetapkan. Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh turut menyatakan bahawa beberapa elemen Bandar Pintar telah mula diadaptasi di Bandar Simanggang termasuk ‘Smart Traffic Light’ dan ‘command centre’. Dengan perkembangan ini, impian untuk menjadikan Simanggang sebuah bandar pintar semakin hampir untuk direalisasikan. Sebagai langkah seterusnya, Pengurus Besar SMA Dato Dr. Anderson Tiong Ing Heng, telah menjemput SADA untuk menyertai bengkel pembangunan Smart City yang dijadualkan pada April 2025. Pada masa yang sama, Pengerusi SADA turut menjemput SMA untuk menyampaikan taklimat mengenai inisiatif Smart City semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu SADA Bil. 1/2025 yang akan berlangsung pada 25 Mac 2025. |