News & Updates

JKR Tingkat Kerjasama Dengan Pemimpin Tempatan, Pastikan Projek Berjalan Lancar
Tarikh : 11 Mar 2025  Sumber Berita: EDISI UKAS
 

LUBOK ANTU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bersedia untuk meningkatkan kerjasama dengan pemimpin tempatan di peringkat akar umbi dalam usaha memastikan projek di setiap kawasan berjalan dengan lancar.

Sehubungan itu, satu mesyuarat telah diadakan bagi membincangkan persediaan program JKR di sini yang telah dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Lubok Antu Akoi Ejau dan dihadiri oleh Ahli Parlimennya Roy Angau Gingkoi.

Menurut Roy, mesyuarat ini diadakan adalah untuk mengukuhkan hubungan antara pihak JKR Sarawak bersama pemimpin tempatan dalam kerjasama perancangan dan perlaksanaan projek pembangunan infrastruktur demi kesejahteraan masyarakat setempat.

Mesyuarat yang diadakan pada Selasa itu turut membentangkan beberapa status projek jalan utama di Lubok Antu, termasuk Jalan Sebeliau-Bilararap, Jalan Batang Ai dan Jalan Ulu Engkari.

Menurut pihak JKR, ketiga-tiga projek berkenaan merupakan projek di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di mana JKR Sarawak bertindak sebagai agensi pelaksana bagi memastikan ianya berjalan mengikut jadual dan spesifikasi yang telah ditetapkan. -EDISI UKAS