Penjawat awam di Sarawak digesa terus menjunjung prinsip integriti |
Tarikh : 28 Feb 2025 Sumber Berita: Utusan Borneo |
KUCHING: Semua penjawat awam di Sarawak digesa terus menjunjung prinsip integriti dalam setiap aspek tugasan mereka dan mengelakkan sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa atau kepentingan peribadi. Memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki (gambar) berkata, integriti adalah asas utama dalam membentuk pentadbiran yang telus, cekap dan berwibawa. Tegas beliau, setiap keputusan dan tindakan yang dibuat oleh penjawat awam mestilah berpandukan kepada prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan. "Tiada kompromi terhadap pelanggaran prosedur dan ketidakpatuhan kepada peraturan, kerana ia boleh menggugat kepercayaan rakyat terhadap kerajaan," katanya dalam Amanat Bulanan Bagi Bulan Mac 2025 hari ini. Mohd Abu Bakar menambah, sebagai pemacu organisasi, ketua jabatan memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan setiap tindakan yang diambil mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan. Menurutnya, kegagalan mematuhi SOP bukan sahaja menjejaskan keberkesanan pentadbiran, malah boleh membawa implikasi undang-undang serta menimbulkan persepsi negatif terhadap perkhidmatan awam. "Oleh itu, saya ingin menyeru ketua jabatan untuk mengamalkan pematuhan SOP yang ditetapkan agar dapat menjadi contoh kepada semua pegawai di bawah seliaan kita. "Selain itu, ketua jabatan juga harus sentiasa memastikan semua pegawai di bawah seliaan untuk turut mematuhi SOP tanpa pengecualian," ujarnya. Sementara itu, Mohamad Abu Bakar menjelaskan, pemantauan rapi terhadap pelaksanaan projek Kerajaan Sarawak memastikan semua projek pembangunan yang telah dirancang dapat dilaksanakan dan siap mengikut tempoh yang ditetapkan. Jelas beliau, oleh itu, pemantauan secara berkala terhadap projek-projek yang sedang berjalan mesti diberi perhatian serius. "Ketua jabatan dan agensi pelaksana perlu memastikan setiap projek dipantau secara teliti dari aspek kemajuan fizikal dan kewangan. "Kita tidak harus berkompromi terhadap sebarang kelewatan, ketidakpatuhan atau ketirisan dalam pelaksanaan projek-projek ini. “Jika terdapat şebarang isu atau halangan yang boleh menjejaskan perjalanan projek, tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan masalah yang lebih besar pada masa depan," katanya. Dalam amanat sama, Mohamad Abu Bakar memberitahu, Laporan Audit adalah mekanisme yang penting dalam menilai tahap ketelusan dan kecekapan sistem pengurusan perkhidmatan awam. Beliau menegaskan bahawa setiap teguran yang diberikan oleh pihak Audit mesti diberi perhatian serius dan diambil tindakan susulan dengan segera. "Ketua jabatan perlu bertanggungjawab dalam memastikan bahawa semua teguran dan cadangan penambahbaikan daripada laporan audit dilaksanakan secara menyeluruh. "Kita tidak boleh mengambil ringan teguran Audit kerana ia mencerminkan tahap ketelusan dan akauntabiliti sesebuah organisasi. "Saya juga menyeru semua jabatan untuk memberi maklum balas yang proaktif terhadap teguran yang diterima, dengan tindakan susulan yang konkrit dan efektif," ujar beliau. Pada kesempatan ini, beliau juga mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan 2025 kepada seluruh warga perkhidmatan awam Sarawak yang beragama Islam. "Semoga bulan yang penuh keberkatan ini menjadi ruang untuk kita mempertingkatkan amal ibadah, memperkukuhkan integriti dan memperbaiki diri sebagai penjawat awam yang bertanggungjawab. "Marilah kita jadikan bulan mulia ini sebagai platform untuk meningkatkan profesionalisme, keikhlasan dalam kerja dan ketelusan dalam setiap tanggungjawab yang kita pikul," katanya. |