Sarawak komited perdalam kerjasama serantau, mengembangkan ketersambungan tenaganya |
Tarikh : 28 Feb 2025 Sumber Berita: Utusan Borneo |
KUCHING: Sarawak komited memperdalam kerjasama serantau dan mengembangkan ketersambungan tenaganya bagi mempercepatkan peralihan Asia Tenggara kepada tenaga bersih. Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata sebagai pengeluar tenaga diperbaharui terbesar di Malaysia dengan lebih 70 peratus tenaga elektrik daripada kuasa hidro, menjadikan Sarawak sebagai salah satu pemancar karbon terendah ASEAN dalam sektor tenaga. Menjelang 2030 katanya, kapasiti tenaga bersih Sarawak akan mencapai 10GW dan berkembang kepada 15GW menjelang 2035, memastikan kedudukan Sarawak sebagai hab tenaga bersih ASEAN. Sarawak kata Abang Johari, juga bersedia untuk menjadi Bateri ASEAN, menyediakan kuasa diperbaharui yang boleh dipercayai dan mampan dengan kerjasama Kalimantan, Indonesia menerusi Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri Sarawak (BESS). BESS kata Abang Johari, berdiri sebagai penyelesaian transformatif yang boleh menyokong permintaan ASEAN yang semakin meningkat untuk tenaga bersih dan boleh dipercayai. “Menjelang 2030, kami (Sarawak) akan melengkapkan sambungan kuasa Sarawak-Brunei Darussalam dengan kapasiti eksport awal 30-50MW. “Sementara itu kerjasama tenaga serantau terbesar kami, projek sambungan 1000MW ke Singapura berkembang dengan baik dengan Malaysia dan Singapura telah mencapai persetujuan. “Perbincangan teknikal kini berada di peringkat akhir dan kami bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan, termasuk Indonesia untuk mengemudi kerumitan pemasangan salah satu kabel dasar laut terpanjang di dunia,” katanya. Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Forum Ekonomi dan Perniagaan ASEAN Sarawak 2025 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini hari ini, anjuran bersama KSI Strategic Institute for Asia Pacific, ASEAN Economic Club (AEC) dan ASEAN Business Club (ABC). Dari sudut tenaga hidrogen pula, Abang Johari berkata Sarawak berada di barisan hadapan sebagai perintis pengeluaran hidrogen, eksport dan inovasi di rantau ASEAN. Dengan memanfaatkan sumber diperbaharui yang banyak, Sarawak meletakkan diri sebagai pembekal utama hidrogen hijau kepada pasaran serantau dan global. “Untuk terus menyokong ekonomi rendah karbon, Sarawak sedang giat membangunkan teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS). “Projek Kasawari CCS di luar pantai Bintulu ditetapkan untuk menjadi salah satu inisiatif CCS luar pesisir terbesar di dunia, yang mampu menyerap sehingga 3.3 juta tan karbon dioksida setiap tahun. “Selain itu Sarawak melalui Petchem Sarawak telah mencapai kemajuan penting dalam pengeluaran metanol daripada bahan suapan gas luar pesisir dengan loji metanol pertama di Tanjung Kidurong, Bintulu mampu menghasilkan 5,000 tan metrik metanol sehari bersamaan dengan 1.8 juta tan metrik setahun,” katanya. Abang Johari juga yakin inisiatif ini akan mengukuhkan kepimpinan Sarawak dalam pengurusan tenaga bersih dan karbon, secara langsung menyumbang kepada matlamat keselamatan tenaga, daya tahan ekonomi dan kemampanan ASEAN. |