Jalan Tapang di Sri Aman perlu dibaik pulih segera, gesa Harden |
Tarikh : 02 Mar 2025 |
KUCHING: Jalan Tapang yang terletak di kawasan Jalan Brayun, Sri Aman perlu dibaikpulih segera susulan kerosakan pada permukaan jalan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang Datuk Francis Harden Hollis berkata, beliau telah menerima aduan daripada penduduk mengenai kerosakan pada jalan tersebut. Susulan itu beliau telah turun padang bagi meninjau keadaan jalan tersebut pada Jumaat lepas bagi tindakan lanjut. Hasil daripada tinjauan itu, Harden berkata beliau meminta agensi bertanggungjawab untuk menilai kerosakan serta kos bagi baik pulih. “Jalan Tapang ini adalah laluan yang menghubungkan beberapa rumah kediaman di kawasan tersebut. “Meskipun jalan ini telah diturap, namun disebabkan telah lama permukaannya ada yang rosak, berlubang dan tidak selamat untuk pengguna. “Jadi kita turun padang untuk melihat sendiri permasalahan ini untuk tindakan lanjut,” katanya yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Bakat dalam satu kenyataan. Turut serta dalam lawatan itu ialah Pegawai Tadbir Khas kepada Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Philip Foster Hollis. |