News & Updates

Sistem pendidikan diperkukuh, pastikan pelajar miliki kemahiran relevan industri
Tarikh : 02 Mar 2025  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuhkan sistem pendidikan dengan memastikan pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki kemahiran yang relevan untuk memenuhi keperluan industri masa depan.

Memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), komitmen ini ditegaskan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis ketika merasmikan Majlis Apresiasi Seri Gamang (ASGA) Pusat Tingkatan Enam Sekolah Kebangsaan (SMK) Sri Aman Sesi 2023/2024 yang berlangsung di Dewan Eden, Sri Aman baru-baru ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan melalui pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di samping memperkasakan institusi pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti Curtin dan Universiti Teknologi Swinburne.

"Kita mahu memastikan pelajar Sarawak bukan sahaja mempunyai pencapaian akademik yang baik, malah turut memiliki kemahiran yang diperlukan untuk memenuhi tuntutan industri masa depan.

"Oleh itu, kita memberi fokus kepada pendidikan teknikal dan latihan vokasional sebagai langkah strategik dalam membangunkan modal insan berkualiti tinggi," katanya.

Majlis ASGA turut menyaksikan 79 pelajar Tingkatan Enam SMK Sri Aman menerima skrol masing-masing sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan mereka menamatkan pengajian.

Selain itu, beberapa anugerah turut diberikan kepada pelajar cemerlang dengan Fatin Farzana Mohamad Rosly menerima Anugerah Seri Gamang dan Anugerah Pelajar Terbaik Kurikulum.

Jacquline Anna Lisa Anthony pula dianugerahkan Anugerah Pelajar Terbaik Kokurikulum, manakala Muhammad Ariff Mumammad Amirul menerima Anugerah Pelajar Terbaik Sahsiah mencerminkan kepelbagaian bakat dan potensi dalam kalangan pelajar Sarawak.

Sebagai tanda sokongan terhadap usaha pendidikan di kawasan Simanggang, Harden turut meluluskan peruntukkan projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM30,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sri Aman.

Langkah ini sejajar dengan usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam membangunkan sistem pendidikan yang tidak hanya memberi fokus kepada pencapaian akademik semata-mata tetapi juga memperkasa pelajar dengan kemahiran praktikal yang relevan bagi memenuhi keperluan industri sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.